REMAJA ORANG ASLI : PEMENANG KEJOHANAN CATUR PERINGKAT ASIA TENGGARA KE -18
Remaja Orang Asli mahu jadi Grandmaster catur negara
KUANTAN: Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, dekat Muadzam Shah, Rompin, Lanida Dahlan, bercita-cita untuk muncul sebagai Grandmaster catur pertama di negara ini.
Remaja perempuan Orang Asli suku Jakun berusia 14 tahun itu muncul pemenang Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara ke-18, yang menampilkan peserta daripada 10 negara, termasuk negara jemputan dari China dan Australia bermula sejak 25 November lalu hingga hari ini.
Lanida yang menetap di Kampung Buluh Nipis, Bukit Ibam, berkata kejayaan itu mencetus semangat kepadanya untuk terus berusaha mencatatkan kejayaan lebih tinggi dalam permainan kegemarannya itu.
"Saya minat permainan catur sejak sekolah rendah lagi... sejak berumur lapan tahun dan mula terbabit secara aktif dengan mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan selepas itu.
"Ketika di sekolah rendah, saya sertai persatuan catur dan guru yang mahir dalam permainan ini banyak menunjukkan kami teknik dan taktikal yang betul untuk menewaskan lawan.
"Sebaik saya memasuki sekolah menengah, keyakinan saya meningkat dan percaya saya memiliki potensi untuk cemerlang dalam permainan mencabar minda ini," katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.
Lanida yang menjadikan juara catur dunia, Magnus Carlsen berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan pemain catur itu dan sering mempelajari gerakan yang selalu digunakan Carlsen melalui rakaman video.
Katanya, impian untuk bergelar Grandmaster catur pertama negara bukanlah sesuatu yang mustahil jika mendapat kepercayaan dan tunjuk ajar daripada mereka yang pakar dalam permainan itu.
"Untuk sampai ke tahap Grandmaster, saya kena banyak sertai kejohanan bertaraf antarabangsa... banyak lagi yang perlu saya buat untuk memperoleh pengiktirafan tertinggi daripada Organisasi Catur Dunia (FIDE).
"Buat masa ini, saya meluangkan masa antara tiga hingga empat jam sehari bagi memantapkan lagi gerakan dan taktikal dalam permainan... saya mendapat bantuan dan kerjasama baik daripada tenaga pengajar disediakan pihak sekolah," katanya.
Sementara itu, jurulatih Lanida, Safri A Razak berkata, beliau melihat potensi yang ada pada Lanida sejak sekolah kebangsaan lagi sebelum membuat keputusan melatihnya secara serius.
"Sesiapa yang berusaha gigih dan melakukan yang terbaik dia akan ke depan... ini dibuktikan Lanida yang bukan sahaja pernah mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan, malah kini meletakkan dirinya sebagai jaguh di Asia Tenggara," katanya.
LANIDA Dahlan (tengah) muncul pemenang Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara ke-18 di Kuantan, hari ini. Turut bersama, rakannya Erni Shahrira Yusri (kiri) dan Veronica Mahdan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SUMBER : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/12/358283/remaja-orang-asli-mahu-jadi-grandmaster-catur-negara
Comments
Post a Comment